PIBG menjadi persatuan penting yang mempunyai fungsi dan tanggungjawab tertentu. Pada asasnya PIBG berperanan sebagai rakan kongsi sekolah untuk membantu pembangunan serta kemajuan sekolah dan pelajar.
Bagi ibu bapa yang sering menghadiri mesyuarat PIBG pastinya akan merasakan PIBG menjadi saluran dan forum terbaik untuk berbincang dan menyelesaikan masalah, birokrasi dan isu yang timbul berkaitan pembelajaran anak-anak mereka.
Fungsi PIBG ini akan dapat dilaksanakan dengan baik sekiranya PIBG sesebuah sekolah itu aktif dan mempunyai barisan ahli jawatankuasa yang komited serta mendapat sokongan ibu bapa pelajar.
Yang penting dalam mengendalikan PIBG, ia mesti mendukung visi yang selari dengan falsafah pendidikan negara (FDN) dan Dasar Pendidikan Negara (DPN). Selain itu PIBG harus menerapkan gagasan 1Malaysia dan Pelan Integriti Nasional (PIN) sebagai sebahagian daripada objektifnya.
Keanggotaan PIBG seperti yang ditetapkan dalam perlembagaan PIBG hendaklah terdiri daripada setiap guru dan ibu bapa yang anak mereka menuntut di sekolah berkenaan. Keanggotaan ini sahaja jelas menggambarkan ibu bapa dan guru harus saling berhubungan dan landasan terbaik dalam hal ini ialah melalui PIBG.
Maknanya, PIBG menjadi platform terbaik bagi ibu bapa dan guru berinteraksi secara bersemuka untuk berkongsi dan bertukar pendapat serta maklumat mengenai kemajuan dan prestasi akademik pelajar serta perkara-perkara berkaitan disiplin, sahsiah dan akhlak pelajar.
Melalui PIBG juga sekolah boleh menyalurkan apa-apa maklumat mengenai pendidikan semasa seperti pelaksanaan pentafsiran berasaskan sekolah dan sebagainya. Ibu bapa juga boleh memberikan cadangan untuk meningkatkan lagi prestasi akademik dan kokurikulum sesebuah sekolah itu. PIBG juga boleh memainkan peranan sebagai orang tengah antara guru dan ibu bapa bagi meleraikan sebarang salah faham yang timbul antara kedua-dua belah pihak.
Tidak seperti dulu, kebanyakan ibu bapa hari ini lebih percaya aduan anak-anak berbanding fakta sebenar sehingga guru sering kali disalahkan termasuklah soal prestasi akademik dan masalah disiplin dalam kalangan pelajar. Justeru dengan adanya PIBG sebagai orang tengah kemungkinan segala salah faham itu dapat diatasi melalui perbincangan.
Barisan kepimpinan dan pengurusan PIBG harus memikul dan melaksanakan tugas dan amanah dengan penuh integriti. Agenda dan misi yang diperjuangkannya mestilah ke arah kebaikan kepada pembangunan sekolah dan masa depan pelajar.
PIBG tidak sepatutnya dijadikan platform politik ataupun medan untuk mengejar nama dan pangkat. Perkara penting yang mesti diutamakan adalah membantu sekolah melahirkan generasi pelajar yang berkualiti, bersepadu dan seimbang serta memiliki jati diri yang kukuh.
Dalam konteks hari ini, keupayaan PIBG untuk menghubungkan sekolah dengan masyarakat amat penting dan memberikan banyak manfaat kepada sekolah.
Contoh, keupayaan PIBG menjadikan sekolah sebagai sekolah angkat kepada badan-badan korporat akan memberi kelebihan kepadanya untuk mendapatkan sumbangan dalam melaksanakan aktiviti dan membantu melengkapkan prasarana keperluan fizikal sekolah dan murid seperti projek makmal komputer, siber kafe pelajar, pusat sumber atau perpustakaan yang lengkap, kemudahan sukan dan rekreasi dan lain-lain lagi.
PIBG yang berkesan sudah semestinya dapat membantu sekolah mempertingkatkan kejayaan pelajar di dalam peperiksaan yang diduduki. Keupayaan PIBG membantu sekolah meningkatkan kecemerlangan akademik akan dapat menaikkan nama, imej dan identiti sekolah terbabit.
Jika mampu, PIBG boleh pergi lebih jauh lagi dengan mengadakan jaringan dan kerjasama pintar dengan institusi pendidikan terbaik dan cemerlang tempatan dan luar negara. PIBG juga perlu membantu sekolah menangani masalah sosial pelajar sekolah seperti masalah merokok, penagihan dadah, membuli, pornografi dan pelbagai bentuk jenayah lain supaya ia tidak menjadi barah dalam sesebuah sekolah itu dan dunia pendidikan amnya.
Program seperti seminar dan kem motivasi untuk pelajar di setiap sekolah adalah program yang boleh dilaksanakan PIBG kerana dapat memberi kesedaran dan semangat kepada pelajar untuk terus belajar dan berjaya.
Ia sekali gus dapat mengurangkan gejala salah laku pelajar, di samping dapat melahirkan generasi muda yang berdisplin dan bersahsiah tinggi. PIBG di peringkat kebangsaan pula boleh mengusulkan atau mengemukakan satu pelan bertindak yang realistik dan komprehensif kepada kementerian terbabit untuk menambah baik atau membetulkan apa-apa ketempangan dalam hal mengenai pendidikan.
Apa pun kejayaan PIBG itu terletak kepada sokongan padu ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa tidak sepatutnya memandang remeh terhadap mesyuarat PIBG yang diadakan di sekolah anak-anak mereka belajar.
Ibu bapa harus sedar bahawa mesyuarat PIBG diadakan bertujuan menambah baik sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P) di peringkat sekolah, di samping mempertingkatkan sistem pengurusan dan pentadbiran sekolah.
Kesimpulan, peranan PIBG semakin mencabar terutama dalam usaha membantu kerajaan menjayakan program transformasi pendidikan nasional. Justeru, perlu ada inisiatif di peringkat nasional untuk meletakkan satu piawaian dan penanda aras yang dapat mengukur pencapaian PIBG dalam membantu pihak sekolah meningkatkan kecemerlangan sekolah sama ada dari segi prestasi akademik, kokurikulum dan juga prasarana sekolah.
Sebagai galakan dan penghargaan, kerajaan melalui kementerian terbabit perlu menyediakan insentif tertentu kepada PIBG yang berjaya mencapai piawaian dan penanda aras yang ditetapkan.

Penulis adalah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia.

Dipetik daripada:
https://m.utusan.com.my/rencana/utama/peranan-pibg-semakin-mencabar-1.93043